Langkau ke kandungan utama

Bab Empat - Selamat Datang Cikgu Nur


Bukan satu wadah, bukan jua rasa. Malah, lebih dari itu, ia adalah enigma. Senja demi senja…, dan hari yang yang bersambung akrab, dia rasa capek, bungkam melihat sambil mengharungi episod demi episod cinta mistiknya. Makin lama makin lemah, tapi makin nyata… Arman sekali lagi terperosok dungu di sebalik rimbunan mengkuang pantai.

Cikgu Nur…, mengapa sekali lagi engkau hadir? Mengapa engkau gusar? Mengapa engkau merinduiku?…. Arman tak rasa apa apa andai di benci atau di jauhi. Pergi jauh dari sini… lari semahumu… ke tempat yang paling jauh. Mengapa harus ia terserempak lagi, apakah dunia ini yang terlalu kecil atau dia yang tak ke mana mana. Di sana .. mentari masih merah dan di hujung sana…. Cikgu Nur, namun bezanya bukan dia seorang… Haikal Azman.. yang sah memiliki Cikgu Nur. Seorang suami!

Seketika tadi, sewaktu jarinya sibuk melakar kanvas, seakan dentuman halilintar bila di sapa seseorang. Terus terpaku berus ditangannya.., perlahan lahan berpaling sambil melirik gusar. Nyata! Suatu masa dulu insan ini menemaninya di sini, suatu masa dahulu insan in dibelainya, insan ini juga adalah pelita hidupnya. Kini? Sebuah nostalgia duka, pahit dan mengerah seluruh keringatnya untuk kembali menjadi dirinya.

“Assalamualaikum… Abang …” lembut, lunak namun bukan pada Arman. Seketika kemudian…
“Waalaikumsalam…” Perlahan, bibirnya gemeretap…, air wajah yang seakan belum bersedia menerima tetamu.
“Abang masih di sini… , seperti jangkaan saya, bertahun daerah indah di tinggalkan tak pernah berubah. Cuma…. Abang, sedikit berbeza wajah.., abang sihat? “ Cikgu Nur merenung wajah Arman, Cuma kali ini pandangannya bukan lagi pandangan tiga tahun yang dulu.

Arman memalingkan wajahnya, kembali menghadap kanvas. Tangannya sedikit digerakkan ke atas dan ke bawah, seakan melakar sesuatu. Diam seketika…., meletakkan berus yang masih basah dan memeluk tubuh. Pandangannya jauh dihalakan ke kaki langit, seakan di sana ada seseorang menantinya. Namun, dia tahu… itu sekadar mimpi.
“Nur, abang sihat dan masih seperti dulu, mungkin Nur yang berubah. Cuma…..” Terhenti seketika, ada raut sedih di wajahnya.
“ Cuma apa.. bang?” terpalit seribu persoalan di benak hatinya.
“ Mak abang dah pergi….., setahun yang lalu..” Seketika di situ, manik manik kecil mula membasahi kelopak matanya. Tunduk lesu, kaku dan mendongak kembali, seakan memohon kekuatan dari Yang Maha Esa.
Seakan pandangan di hadapannya hilang.., Cikgu Nur kaku.
Emak Arman… yang selalu dipanggilnya emak, yang tak pernah melihatnya sebagai orang asing.Yang selalu menasihatinya tentang hidup seorang perempuan… yang benar benar menanam jiwa keibuan padanya. Tanpa Emak Arman…, tak mungkin dia cepat mengerti tentang kehidupan. Dia masih ingat…, suatu masa dia pernah lena di pangkuan ibu tua itu, dan terjaga sambil melihatnya tersenyum. Dia tahu… dan dia rindu pada senyuman itu. Kini…. Segalanya sudah ternoktah, segalanya sudah menjadi sejarah. Dan di sana… Anis Aryani, anak kecilnya yang berusia dua tahun, berlari sambil membawa kulit siput yang di berikan oleh papanya.

Cikgu Nur memeluk Anis, erat seakan tak mahu dilepaskannya…, airmatanya tak mahu berhenti mengalir, matanya sedegil hatinya. Anis mencium pipi ibunya. Anis juga sebijak ibunya. Dan seseorang yang terlupa…… disana, Arman merenung wajah Anis. Jadilah anak yang baik dan pakcik mendoakan kebahagiaan kamu. Matanya bergenang, di sekanya perlahan…., sambil berlalu membawa kanvasnya pergi. Matahari sudah terbenam dan hatinya sedikit terguris kembali.

Hari ini Isnin. Pantai Harapan agak sepi. Riak riak ombak kecil yang saban masa melagukan iramanya yang tak pernah terhenti. Haikal Azman masih terlelap di samping Anis. Tubuh montel dan kesejukan penghawa dingin di bilik hotel itu begitu mengasyikkan suasana. Dimana Cikgu Nur?

Di tepian kolam renang jemarinya sibuk membelek sebuah karya, Rindu Sekuntum Mawar Putih…, dan pengarangnya? Arman. Dia masih ingat novel itu. Arman menghadiahkan padanya sewaktu ia ingin berlepas ke Sydney tiga tahun yang lalu. Novel itu disimpannya sehinggalah ke hari persandingannya. Sewaktu malam persandingannya itu, dia menghabiskan novel itu pada entah kali yang ke berapa. Dia sendiri tidak mengerti tentang perasaannya.

Arman padanya, terlalu disayanginya, terlalui dirinduinya. Arman tidak pernah berbuat salah apa apa padanya. Cuma…., dia bimbangkan masa depannya. Arman hanya seorang nelayan dan pendapatannya tak seberapa. Dia sudah biasa dengan kemewahan dan mungkin betul seperti kata bapanya, Kasih sayang itu tak mengenyangkan perut yang lapar. Dalam hidup kita harus berkorban sesuatu yang kecil untuk sesuatu yang lebih besar. Arman menjadi korban? Arghhh… tidakkk! Bukan perkataan itu untuk Arman. Mati hidup semula pun dia tidak mahu menyebut itu pada Arman. Kenyataannya? Arman adalah korban, korban pada perjudian hidupnya dengan Haikal Azman.

Lapangan Terbang Antarabangsa………….,

“Mengumumkan ketibaan ………. Dari London “ ngauman pembesar suara membelah lamunannya. Arman?

Pandangannya dihalakan ke arah laluan keluar penumpang antarabangsa. Limabelas minit kemudian, dari kejauhan seseorang menolak troli yang berisi beg yang agak besar. Semakin lama semakin jelas. Berambut agak perang, lembut pandangannya sambil Arman berdiri menyambutnya dengan senyuman.

“Hi Charlie, welcome. How are you?” Arman menolak trolinya ke arah cafeteria. Charlie Cuma mengangguk Mungkin itu sikapnya, dia pendiam dan sukakan budaya Malaysia. Lebih penting, Charlie @ Charlotte Alexis mahir berbahasa Melayu. Sewaktu di London dia mengambil Pengajian Bahasa Melayu dan dari situ minatnya untuk mengetahui tentang budaya bahasa ‘angkat’nya telah membawanya ke sini dan akhirnya bertemu dengan nelayan muda itu sewaktu sedang mengambil gambar di jeti di sini. Dan pertemuan itu diulangi lagi di pantai sewaktu menyaksikan matahari terbenam.

Rabu, menandakan akan ada ramai orang di situ kerana pasar sehari yang saban minggu di adakan. Dihadapannya, tanah yang sedikit berhampiran pantai , Mawar Indah Beach Resort mengandungi enampuluh bilik bersaiz sederhana. Nissan Sentra hitam meluncur laju meninggalkan lapangan terbang. Akhirnya membelok perlahan ke arah Mawar Indah Beach Resort. Pemandunya keluar sambil membuka pintu belakang dan bonet. Seseorang yang mungkin pekerja disitu mengangkat beg beg tersebut sambil terus membawanya ke bilik. Charlie melambai sambil tersenyum pada semua dan akhirnya seorang menemui Arman untuk menyerahkan kunci kereta.

“Encik Arman, kereta di dalam ‘parking’ dan semalam Tuan Pegawai Daerah ada ke sini, dia bertanya tentang Encik, mungkin kalau boleh dia minta Encik telefon dia balik?” Sabri, pembantunya yang setia. Lingkungan usia duapuluh lima tahun, kacak dan sedikit kelakar.

“ Terimakasih, nanti boleh tak bila Cik Charlie bangun, tolong panggil saya di pejabat?”

“Tak ada masalah Encik, nanti saya panggil encik “

Arman mengangguk sambil berlalu ke pejabatnya. Tapi kenapa dia di sana dan bagaimana sebegitu cepat?

Sebaik pemergian Nur ke Australia, Arman menjadi seakan hilang arah. Kuasa Tuhan menentukan, sebuah sekolah menengah baru hendak di buat di kampung itu. Tapak yang dipilih itu betul betul berada di atas tanah milik emak Arman. Setelah urusan pengambilan tanah dilakukan, emak Arman menerima hampir sejuta ringgit. Oleh kerana Arman adalah anak tunggalnya, maka segalanya diuruskan Arman. Dengan pertolongan Tuan Pegawai Daerah, dia mendapat bantuan kewangan tambahan dari bank dan akhirnya setelah segalanya siap, rumah peranginan itu di namakannya Mawar Indah atas permintaan ibunya.

Kubur emak Arman terjaga indah. Setiap minggu Arman akan ke sana. Selesai membersihkan rumput rumput, dia menghadiahkan ayat ayat suci padanya. Hari ini.. di temani Charlie yang bertudung, Arman ke sana lagi. Charlie pernah bertemu emak Arman sewaktu kali pertama ia ke sini dahulu. Kenangannya bersama emak Arman masih kuat, masih segar. Emak Arman banyak mengajarnya tentang adat resam orang Melayu lama dan banyak lagi tentang pantang larang dan cara bertani.

Sudah lima hari Charlie di sini. Anak gadis Inggeris itu langsung tidak kekok dengan suasana di situ. Sikapnya yang ringan tulang dan penyayang membuatkan dia mudah menerima perhatian. Suatu petang di restoran tempat penginapannya.., bersama Arman yang baru pulang dari bandar mereka berbincang tentang sesuatu.

“ So.. Charlie, dah fikir habis? Tak rasa menyesal? Dah terlupakan London? “ Arman tersenyum sambil mengajukan soalan pada Charlie.

“Well…menyesal? Lebih menyesal kalau tak dapat bersama abang..dan lagi...,Hmm…. Dah muktamad. Saya dah mengenali Islam dari masa sebelum saya mengenali Arman Si Nelayan dan bukan Arman yang ini. Arman yang ini semua orang nak, tapi Arman yang nelayan tu Charlie sahaja yang punya “ ketawa kecil, ada riak gembira di situ.

“Baiklah, kalau begitu mungkin esok adalah hari yang terbaik untuk kita ke pejabat agama mungkin? “.

“Terpulang pada abang, baik untuk abang baik juga untuk saya. Cuma satu yang saya pohonkan dari abang, didiklah saya untuk menjadi seorang Muslim yang baik dan anggaplah saya seperti saudara abang sendiri. Keluarga saya tidak terlalu terbuka dalam hal kebebasan beragama. Saya perlukan abang kalau tidak membebankan sesiapa”. Charlie merenung ke wajah Arman seakan mengharapkan sesuatu.

“Sudah menjadi tanggungjawab abang untuk melihat kamu jadi baik, sentiasa baik dan abang gembira dapat melakukan apa apa yang baik untuk kamu”.

Suasana makin senja, langit semakin suram dan senja yang terakhir untuk Charlotte Alexis. Esok adalah hari baru untuknya sebagai seorang Muslim. Bekas penganut Anglican yang latar hidupnya dari kalangan kelas pertengahan atas itu sedikit berbeza. Seorang yang cukup tenang, meminati alam dan budaya dan cepat mesra. Keluarganya dari kalangan orang berada, namun dia sukakan kehidupan sederhana. Mungkin takdir membawanya hanyut jauh dari kampung halamannya kerana mungkin hatinya lebih berada di sini.

Mentari sudah dinihari. Dari kereta Arman, terpacul keluar seorang gadis bertudung litup dan berbaju kurung. Nampak begitu anggun cuma mata birunya membezakan sedikit dirinya. Nurul Nadhirah, nama baru untuknya dan dia senang dipanggil Nadira. Arman lengkap berbaju melayu membawa keluar dokumen dokumen dari keretanya. Kemudiannya mereka berdua masuk kembali dan terus menuju ke masjid. Setelah sejam berada di kubur ibunya mereka pun pulang untuk menyambungkan semula tugas tugas mereka.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bab Tiga - Monolog Untuk Nur .

Wajahnya lembut, ayu seperti sering tersenyum. Aku sering melihat dia, seperti melihat aku dalam dirinya. Aku merinduinya, dan mungkin juga aku mencintainya. Jauh kan? Tapi... dia mengkagumkan aku. Dalam dirinya aku melihat seakan ada sinar jernih yang menembusi jantungku. Sayang... terlalu jauh perjalanan ini kurasakan. Hanya engkau menemaniku sewaktu begini. Nur... kasihsayang ini terlalu besar, terlalu agung juga terlalu akrab. Jika kau ingin lari dariku, apa lagi yang tertinggal untukku. Segalanya jadi pudar, segalanya seakan hilang bersama bayu. Di teratak hati ini, cuma ada satu ruang dan di ruang itulah segalanya terisi dengan pengertian rindu dan kasihsayangmu. Nur, ruang ini adakalanya terlalu luas dan adakalanya sempit sehinggakan aku seakan terperosok di dalamnya. Tuhan menemukan kita, dan dalam pertemuan ini, ianya terlalu indah dan tenang. Aku berjanji pada diriku untuk menyintai seseorang atas rasa cintaku kepada Yang Maha Agung. Dunia ini penuh berliku dan aku seakan t

Bab Lapan - Dingin Air

Arman sudah gila! Arman bercuti. Tapi……! Kenapa Kampung Perigi? Hanya kerana Air Terjun? Atau………. Khairani Abdullah? Ya. Memang kerana gadis itu. Arman menyewa sebuah bilik kecil di rumah Pak Cik Salleh. Orang tua itu tinggal seorang diri. Isterinya baru saja meninggal dunia dua tahun lalu. Anak anaknya semua sudah memiliki rumah sendiri. Rumah itu agak usang, tapi pada Arman cukuplah semua itu lagipun dia sudah biasa dengan rumah kampung. Pakcik Salleh seorang yang warak tapi agak ganjil. Dia seorang pendiam dan banyak beribadat. Arman senang dengan Pakcik Salleh disebabkan sikapnya yang tidak begitu mengambil tahu hal orang lain. Di atas tikar mengkuang, Arman bersila sambil menghadap kitab lama milik Pakcik Salleh. Kasyful Asrar yang entah berapa tahun usianya. Tulisan jawi lama yang adakalanya sedikit sukar untuk dibaca. Namun, lebih sukar untuk diterjemahkan. Pakcik Salleh banyak mengajarnya tentang hakikat hidup, tentang kecintaan kepada Tuhan Pencipta Alam. Tapi, banya