Langkau ke kandungan utama

Bab Tiga - Monolog Untuk Nur .

Wajahnya lembut, ayu seperti sering tersenyum. Aku sering melihat dia, seperti melihat aku dalam dirinya. Aku merinduinya, dan mungkin juga aku mencintainya. Jauh kan? Tapi... dia mengkagumkan aku. Dalam dirinya aku melihat seakan ada sinar jernih yang menembusi jantungku.
Sayang... terlalu jauh perjalanan ini kurasakan. Hanya engkau menemaniku sewaktu begini. Nur... kasihsayang ini terlalu besar, terlalu agung juga terlalu akrab. Jika kau ingin lari dariku, apa lagi yang tertinggal untukku. Segalanya jadi pudar, segalanya seakan hilang bersama bayu. Di teratak hati ini, cuma ada satu ruang dan di ruang itulah segalanya terisi dengan pengertian rindu dan kasihsayangmu.
Nur, ruang ini adakalanya terlalu luas dan adakalanya sempit sehinggakan aku seakan terperosok di dalamnya. Tuhan menemukan kita, dan dalam pertemuan ini, ianya terlalu indah dan tenang. Aku berjanji pada diriku untuk menyintai seseorang atas rasa cintaku kepada Yang Maha Agung. Dunia ini penuh berliku dan aku seakan terpaut di dalamnya. Tanpa menyedari hakikat tentntang suatu masa kita akan kembali kepadaNya.
Nur, di dalam hidup ini aku juga telah melihat banyak perkara tentang rindu dan kasih sayang. Bagaimana aku hanyut di dalamnya, terbuai dengan mimpi mimpi indah tenggelam dalam kabusnya. Pada suatu ketika terasa dunia ini terlalu sepi dan kekosongan. Pada sinar wajahmu ada ketenangan di situ. Merinduimu membawa satu kekuatan yang seperti saban hari aku mendapat tenaga baru. Sering aku terlupa tentang raut wajahmu kerana yang paling aku ingati adalah kesedaran tentang betapa Dia melihat aku dan Dia juga mendengar rintihanku.
Aku kehilangan manusia yang paling aku sayangi sehinggakan aku merasakan sebahagian dari diriku berada bersamanya. Syukur, Dia menemukan aku dengan sesuatu yang lama aku impikan. Aku tak tahu sehingga bila engkau akan hadir disisiku tapi aku bersyukur kerana sekurang kurangnya aku menemuimu, menyayangimu dan melihat senyuman terukir dibibirmu. Tuhan, aku manusia berdosa, Engkau Maha Penyayang. Engkau Maha Mengetahui tentang apa yang aku lalui di dalam menerima ketentuan Mu.
Wahai insan, sebagai manusia yang punya hati aku ingin menemanimu selama engkau inginkan aku disisimu. Engkau punyai hak untuk segalanya tentang dirimu, menyayangiku atau menghindariku. Nur, aku cuba menyelami dan menerimamu seadanya. Nur, janjiku selagi aku terdaya, akan aku cuba bangkit dan merangkak keluar dari kegelapan ini. Sesungguhnya, dalam jasad dan pemikiran yang terlalu terbatas ini mungkin ada ruang untuk aku berpaling dan menyatakan pada alam dan makhluk yang aku mengimpikan sesuatu yang tenang dan dalam kasihsayang Yang Maha Agung. .

Jauh dari sudut hati aku melihat sejalur cahaya semakin lama semakin jelas. Ia kembali menyuluh disekelilingku dan aku kembali melihat realiti tentang siapakah aku, dimanakah aku dan kemanakah akan kuteruskan perjalanan ini. Di dalam kegelapan kita teraba raba mencari di manakah punca cahaya dan bagaimanakah haruskan harus dinyalakan kembali obor yang terpadam seketika.
Nur, betapa satu hamparan cahaya itu menyuluh lumpur membaluti kaki dan seakan kering pada tubuh yang kotor. Aku tidak tahu tentang apa apa, aku tenggelam dalam alpa, aku pasrah dalam mencari cinta. Cinta itu sesungguhnya tiada kerana aku tidak melihatnya. Ia terlalu dekat, ia terlalu terang sehinggakan aku lemas dalam percikannya.
Untuk Nur, kamu dan menyintai dirimu adalah yang terbaik dalam hidupku. Kamu ingatkan aku tentang Jumaat, Rejab dan Surah Yasin. Kamu adalah impian seorang ibu dan syurga pada suami. Aku tidak melihat emas pada tubuhmu atau gelaran yang ada pada mu tetapi kerana kamu adalah Nur, kamu adalah mimpi kamu adalah impian seseorang yang pernah menangis di subuh gelita. Untuk pertama kali aku merasa hebat, merasa kuat merasa gagah dan aku berharap aku mampu bangun, aku mampu berlari kembali.
Buat mu tersayang, aku cuma manusia berdosa tanpa ada sesuatupun. Telah aku nyatakan padamu tentang segalanya. Tanpa naungan sebuah binaan, aku terapung di amuk gelombang. Sehinggakan suatu masa, seperti sang pengemis mengharapkan sesuatu. Aku tak malu menyatakan segalanya padamu kerana... aku ikhlas menyayangimu. Andai aku bukanlah pilihan yang terakhir aku akur pada keadaan. Menemuimu bagiku sudah cukup sudah menjadi satu hadiah yang hebat buat musafir ini.

Maafkan aku andai pertemuan ini tidak adil untukmu. Maafkan aku andai segalanya bukan dalm ilusimu. Malam terasa panjang sewaktu merinduimu. Aku berusaha berpaling dari melihat pelangi itu namun ia semakin hampir dan semakin jelas. Suria terlalu lambat menjengah lantas aku bangun sambil memandang dalam kepekatan malam. Subuh yang sunyi, seorang insan duduk mengenang sesuatu. Rindu ini bagai mimpi. Segalanya terlalu pantas .

Nur, mengapa dalam suatu masa kita harus membilang bintang di langit hanya kerana dihambat resah? Mengapa harus ada tali halusinasi yang mengikat erat hati hati yang berkelana. Entahlah Nur, aku tak pasti... mungkin ia hanya seketika, datang dan pergi. Walaupun perit, walaupun berat.. ku agahkan diri kerana saat kerinduan datang, ia panas, mencengkam dan menenggelamkan segalanya dan aku salah seorang yang terpaksa mengharungi semua ini.

Bukan kekayaan yang aku kejar juga bukan keperitan hidup menjadi matlamat. Cuma seperti insan lain aku punya visi sendiri. Aku ingin mencari sakinah yang selama ini jauh dariku. Apa ada dalam kehidupan singkat ini, tak ubah seperti meneguk air dari kali. Nur, aku mencarimu, menyayangimu kerana engkau ujud dalam hati ini. Mungkin dalam situasi berbeza kita semakin jauh tapi aku pasrah kerana, aku ikhlas menyayangimu. Tali penghubung itu sudah pun ada meskipun sebelum kita saling dipertemukan. Dan seterusnya diterjemahkan menjadi satu kebiasaan dalam diri ini untuk sentiasa mengingatimu.

Sewaktu tanpamu, aku tak pernah sunyi dari melihatmu di dalam imaginasi. Gembirakah dia, sihatkah dia…., semuanya terkadang tanpa jawapan. Namun yang paling istimewa adalah saat bilamana aku terus mengingatimu.Hakikat yang pasti, pahit tapi benar. Cinta yang agung di temani kesetiaan biasanya berakhir tanpa apa apa ikatan. Segalanya nyata, segalanya sunyi, segalanya abadi. Mungkin aku sekadar mampu memiliki kerinduanmu, tapi sepantas itu juga kau akan pergi jauh dan sejauhnya. Bila semuanya itu lari dariku, apa yang termampu hanyalah melihat jauh di kaki langit dan dikala itu hati kecil ini terus melafazkan ……” Nur, aku menyayangimu dan selamanya akan terus menyayangimu”. “

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bab Lapan - Dingin Air

Arman sudah gila! Arman bercuti. Tapi……! Kenapa Kampung Perigi? Hanya kerana Air Terjun? Atau………. Khairani Abdullah? Ya. Memang kerana gadis itu. Arman menyewa sebuah bilik kecil di rumah Pak Cik Salleh. Orang tua itu tinggal seorang diri. Isterinya baru saja meninggal dunia dua tahun lalu. Anak anaknya semua sudah memiliki rumah sendiri. Rumah itu agak usang, tapi pada Arman cukuplah semua itu lagipun dia sudah biasa dengan rumah kampung. Pakcik Salleh seorang yang warak tapi agak ganjil. Dia seorang pendiam dan banyak beribadat. Arman senang dengan Pakcik Salleh disebabkan sikapnya yang tidak begitu mengambil tahu hal orang lain. Di atas tikar mengkuang, Arman bersila sambil menghadap kitab lama milik Pakcik Salleh. Kasyful Asrar yang entah berapa tahun usianya. Tulisan jawi lama yang adakalanya sedikit sukar untuk dibaca. Namun, lebih sukar untuk diterjemahkan. Pakcik Salleh banyak mengajarnya tentang hakikat hidup, tentang kecintaan kepada Tuhan Pencipta Alam. Tapi, banya

Bab Empat - Selamat Datang Cikgu Nur

Bukan satu wadah, bukan jua rasa. Malah, lebih dari itu, ia adalah enigma. Senja demi senja…, dan hari yang yang bersambung akrab, dia rasa capek, bungkam melihat sambil mengharungi episod demi episod cinta mistiknya. Makin lama makin lemah, tapi makin nyata… Arman sekali lagi terperosok dungu di sebalik rimbunan mengkuang pantai. Cikgu Nur…, mengapa sekali lagi engkau hadir? Mengapa engkau gusar? Mengapa engkau merinduiku?…. Arman tak rasa apa apa andai di benci atau di jauhi. Pergi jauh dari sini… lari semahumu… ke tempat yang paling jauh. Mengapa harus ia terserempak lagi, apakah dunia ini yang terlalu kecil atau dia yang tak ke mana mana. Di sana .. mentari masih merah dan di hujung sana…. Cikgu Nur, namun bezanya bukan dia seorang… Haikal Azman.. yang sah memiliki Cikgu Nur. Seorang suami! Seketika tadi, sewaktu jarinya sibuk melakar kanvas, seakan dentuman halilintar bila di sapa seseorang. Terus terpaku berus ditangannya.., perlahan lahan berpaling sambil melirik gusar. Ny