Langkau ke kandungan utama

Bab Lapan - Dingin Air


Arman sudah gila!
Arman bercuti.
Tapi……!
Kenapa Kampung Perigi?
Hanya kerana Air Terjun?
Atau……….
Khairani Abdullah?
Ya. Memang kerana gadis itu. Arman menyewa sebuah bilik kecil di rumah Pak Cik Salleh. Orang tua itu tinggal seorang diri. Isterinya baru saja meninggal dunia dua tahun lalu. Anak anaknya semua sudah memiliki rumah sendiri. Rumah itu agak usang, tapi pada Arman cukuplah semua itu lagipun dia sudah biasa dengan rumah kampung. Pakcik Salleh seorang yang warak tapi agak ganjil. Dia seorang pendiam dan banyak beribadat. Arman senang dengan Pakcik Salleh disebabkan sikapnya yang tidak begitu mengambil tahu hal orang lain.
Di atas tikar mengkuang, Arman bersila sambil menghadap kitab lama milik Pakcik Salleh. Kasyful Asrar yang entah berapa tahun usianya. Tulisan jawi lama yang adakalanya sedikit sukar untuk dibaca. Namun, lebih sukar untuk diterjemahkan. Pakcik Salleh banyak mengajarnya tentang hakikat hidup, tentang kecintaan kepada Tuhan Pencipta Alam. Tapi, banyak yang misteri tentang Pakcik Salleh. Selalu dia melihat Pakcik Salleh bercakap dengan pokok, dengan binatang, mungkin dia tertekan dengan pemergian Arwah isterinya. Akhirnya persoalan itu dibiarkan begitu sahaja, lagipun Pakcik Salleh begitu baik padanya.
Sudah seminggu dia di situ, bayang Khairani pun entah di mana tak pernah pun kelihatan. Mungkin dia sudah berpindah ke kawasan lain ataupun mungkin….
Sudah berkahwin?
Sampai di sini Arman terasakan kegopohannya. Mengapa tak diselidik dulu sebelum datang ke sini!
Pagi itu Arman ke kedai runcit yang agak tak jauh dari bilik sewanya. Dia nekad untuk bertanyakan tentang Khairani Abdullah. Setelah mengambil beberapa jenis barang, Arman menuju ke kaunter. Dia cuba untuk menyebutkan namanya, tapi akhirnya dia berlalu begitu saja. Ujud rasa segan dan dia sendiri risau kehadirannya nanti di situ akan diperbualkan.
Tapi…
bagaimana dengan Khairani Abdullah?
Mungkin Pakcik Salleh adalah orang yang paling sesuai untuk dia bertanyakan soalan.
Tapi…
Bagaimana untuk memulakannya?
Tak mengapa. Lebih baik berterusterang saja. Mungkin Pakcik Salleh faham. Dia orang tua. Dia dah banyak makan garam dahulu. Ya, malam nanti dia akan tanyakan pada Pakcik Salleh.
Malam menjelang. Arman membelikan banyak lauk pauk dari restoran makcik berdekatan rumahnya. Pakcik Salleh baru selesai solat Maghrib. Keduanya duduk bersila, dan menikmati makan malam dan seperti biasa, Pakcik Salleh makan sedikit dan menyandarkan badannya pada tiang seri rumah usang itu.
“Man, dulu dia selalu mai sini. La ni dia jarang mungkin dia sibuk sikit. Lepas balik Mesir dia pi mengaji lagi, dia kata dia nak sambung buat Master ka apa, pakcik pun tak pasti sangat.”
Siapa?
Apa yang Pakcik Salleh cuba nak sampaikan ni?
“Er…, sapa tu pakcik?”
“Anak angkat pakcik, pakcik bela dia sejak umur dia tiga tahun. Asal dia anak orang Kampung Aceh. Mak ayah dia kena tangkap dengan askar masa balik tengok keluarga depa di Aceh. Salah apapun tak tau la. Sampai la ni depa tak balik dah. Jadi arwah makcik kamu ambik dia buat anak angkat.”
“Ooh..”
Rajin pulak pakcik ni cerita pasal keluarga dia selalunya dia macam tak berminat saja.
“Sapa nama anak angkat pakcik tu?”
“Khairani Abdullah” Selamba saja Pakcik Salleh bangun dan ke telaga untuk ambil wuduk sembahyang Isyak.
Seketika, Arman merasakan seperti berada diawangan.
Bagaimana Pakcik Salleh mengerti tentang persoalannya?
Dan……,
“Khairani Abdullah?”
Dia seakan tidak percaya yang dia telah berada di rumah Khairani Abdullah selama seminggu!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bab Tujuh - Kembang Tak Selamanya Mekar

Kuala Lumpur, metropolitan yang berusia hampir 150 tahun itu tak pernah sunyi. Sekitar Chow Kit sentiasa riuh dengan laungan peniaga kakilima memanggil pelanggan. Arman terus membelok ke Pusat Dagangan Dunia Putra untuk menghadiri perjumpaan pemilik pemilik hotel kecil bumiputra. Persatuan itu adalah sebagai payung untuk hotel hotel kecil beroperasi dengan dinaungi oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. Arman baru setahun menjadi ahlinya. Ditemani oleh Encik Kasman, kenalan barunya yang juga pemilik sebuah hotel di Seremban. Selesai perjumpaan mereka berdua ke Desa Pandan untuk menyelesaikan urusan dengan Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia. Di sana merupakan satu tempat untuk memantau perkembangan terbaru industri pelancongan dan juga pusat latihan yang menyediakan berbagai kursus. Mereka juga adalah ahli Kelab Penulisan Kuala Lumpur. Malam ini kelab akan mengadakan satu perjumpaan khas untuk ahli ahlinya untuk menyambut ulangtahun ke 30 penubuhannya. Jam sudahpu...

Bab Enam - Lampu Merah di Pelabuhan

Malam merangkak pergi. Lambat serasa bagai embun yang menitis memenuhi kolam. Arman di hamparan batu pemecah ombak melakar impian. Ada sebuah puisi yang baru diilhamkannya. Badai Kedinginan bukan utusan Untuk menjemput aku berlalu pergi Kehangatan bukan jalan pintas Untuk aku menggantikannya. Sesungguhnya untukmu, Ada ruang di sanubari, Tersimpan sejuta tahun, Walau badai, Walau api, Walau lautan yang menimbusnya, Ia tetap di sini… Sampai bait terakhir ini, Arman terhenti seketika. Bertanyakan pada hatinya.. untuk apa aku masih mencintainya? Tiada jawapan. Segalanya kelu, segalanya bisu. Segalanya seperti kabur lampu merah di pelabuhan sana. Ombak kecil gemersik memainkan lagu. Ada anak ketam merangkak di tepian air. Sayup di sana, lampu merah di pelabuhan masih kabur menyala. Arman menulis lagi. Ia tetap di sini, Ia abadi, Ia tulus…. Terhenti lagi. Tulus? Aku tulus pada siapa? Pada orang lain? Pada seseorang yang sedang didakap suaminya? Sedang aku send...